Wednesday, March 28, 2012

Anjing Dan Kari Hangatkan Singapura

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

KALI ini saya akan menulis mengenai anjing dan kari. Anjing dan kari itu pula bukan di Malaysia, tetapi di Singapura. Lepas itu, saya hendak lihat macam mana sesetengah pembaca dan pembahas akan mempolitikkannya.

Bukan apa, tetapi kerana ada sesetengah pembahas akan mempolitikkan apa saja yang saya tulis walaupun tajuknya tidak kena mengena dengan politik. Mungkin itulah “tugas rasmi” sesetengah pembahas. Wallahualam.

Mengenai anjing, media massa melaporkan yang seorang pelajar negara China yang belajar di Singapura didenda S$3,000 (kira-kira RM7,320) dan perintah melakukan tugas-tugas kemasyarakatan selama tiga bulan kerana memanggil orang Singapura “anjing” dalam blog mikro.

Pelajar berkenaan, Sun Xu yang berusia 25 tahun belajar di Universiti Nasional Singapura (NUS) juga akan kehilangan biasiswa Kerajaan Singapura bagi semester terakhir pengajiannya.

Bulan lalu, Sun mencetuskan kemarahan rakyat Singapura dengan menulis dalam blog mikro berbahasa Cina Weibo bahawa "ada lebih banyak anjing daripada manusia” di republik itu yang 74 peratus penduduknya berketurunan Cina.

Dalam tulisannya, Sun marah kepada orang tua-tua Singapura yang merenung beliau atau menengkingnya apabila beliau secara tidak sengaja melanggar mereka di tempat-tempat awam.

Kalau dulu orang Cina Singapura menghalakan sentimen negatif mereka kepada bangsa minoriti Melayu dan India, sekarang yang jadi sasaran kebencian mereka adalah pendatang negara China sehingga parti pemerintah, PAP kehilangan banyak undi dalam pilihan raya umum Mei lalu.

Ramai yang bandingkan perbuatan Sun itu dengan satu kejadian di Hong Kong di mana seorang profesor negara China memanggil penduduk Hong Kong "anjing", "anak haram" dan "penipu". Di bekas tanah jajahan British itu, penduduknya yang lebih kaya dan maju memandang rendah pendatang dari tanah besar.

Sebelum itu, sepasang suami isteri pendatang dari negara China juga menimbulkan kemarahan rakyat Singapura apabila mereka membuat aduan kepada Pusat Timbang Tara Masyarakat kerana tidak suka bau kari yang dimasak oleh jiran keturunan India mereka.

Mereka buat aduan walaupun keluarga India itu telah mengambil tindakan menutup pintu dan tingkap apabila memasak kari.

Yang menyebabkan rakyat Singapura marah adalah apabila Penimbang Tara bernama Marcellina Giam, mengeluarkan perintah yang keluarga India Singapura itu hanya boleh masak kari apabila keluarga pendatang negara China itu tidak ada di rumah dan, sebagai ganti, pendatang negara China itu berjanji akan mencuba kari yang dimasak oleh jiran India mereka.

Keputusan Giam itu mencetuskan kemarahan rakyat Singapura yang sudah pun berasa kurang senang dengan dasar Kerajaan mereka yang mengutamakan imigran dari negara China. Kini ada kira-kira sejuta pendatang negara China di Singapura atau satu perlima daripada penduduk Republik itu.

Menurut laporan media massa, rakyat Singapura, khasnya Cina tidak sukakan pendatang negara China bukan saja kerana bilangan mereka yang ramai dan gaya hidup mereka, tetapi juga kerana majoriti daripada mereka bukan dari wilayah Fujian and Guangdong yang berupa tempat asal orang Cina Singapura. Lagipun kebanyakan pendatang negara China itu tidak boleh berbahasa Inggeris yang berupa “bahasa kebangsaan” Singapura.

Bekas Perdana Menteri, Lee Kuan Yew, yang menjadi juara imigrasi rakyat China, Hong Kong dan Taiwan, turut mencetuskan ketidaksenangan orang Cina Singapura. Selewat bulan lalu beliau mempertahankan kemasukan imigran China.

Katanya, suka atau tidak, kalau rakyat Singapura tidak menghasilkan lebih ramai bayi, negara itu terpaksa terus bergantung kepada imigrasi. Lee berkata beliau sedar rakyat Singapura tidak senang melihat begitu ramai orang asing, tetapi ekonomi Singapura akan beku dan, paling buruk, masanya akan tiba apabila tidak ada siapa yang akan menjaga orang tua Singapura.

Berbanding Singapura, nampaknya kita di Malaysia sangat baik, sangat bertolak ansur dan sangat cincai sampai berjuta-juta pendatang asing, majoritinya haram, membanjiri negara kita. Kalau dari negara China, ramai masuk sebagai pelancong dan pelajar, tapi kerja sebagai tukang urut, GRO dan pelacur atau jadi perempuan simpanan dan isteri penanam halia sampai Wanita MCA pun naik pening. Wallahualam.

Monday, March 26, 2012

Friends In Need Are Friends Indeed

A Kadir Jasin

(If you are commenting “anonymously”, please state your name/pseudonym at the beginning and end of your comment. Thank you.)

ON Friday March 23, we buried Mazlan Nordin. The Tan Sri died a day earlier at the University of Malaya Medical Centre. He was 86.

That meant not many of his contemporaries were left to pay him the last respect. About the only one present was journalist-turned-hotelier H.M.Shah, who is 90 and was Mazlan’s boss at the Utusan Melayu newspaper group.

Others were his colleagues like Zainuddin Maidin aka Zam and Kamarul Ariffin. Zam succeeded Mazlan as Utusan’s editor-in-chief and later chairman. Kamarul was also once the group’s chairman. Prime Minister Mohd Najib Abdul Razak and former Finance Minister, Daim Zainuddin (Tun) also paid their last respect.

I counted among Mazlan’s pupils and colleagues. Others included Rejal Arbee, Ahmad A Talib, Abdul Rahman Sulaiman, Safar Hashim and Azman Ujang.

I first met Mazlan in the second half of 1969 when I joined Bernama. He went on to become Bernama’s editor-in-chief and later chairman. He was a kind person and a thoughtful boss. Working under him made you feel equal.

He was an uncontroversial person, always able to steer clear of partisan politics despite helming some of the most politicised media organisations in the country.

His death is a lost to Malaysian journalism, most notably to bilingualism. He was the last of the bilingual writer of his generation, at ease with both the Malay language and English.

It is sad that fewer and fewer such journalists, writers and editors are being created these days. Most of the younger journalists, writers and editors are either conversant in the Malay language or English.

Not too long ago, I also lost another journalism teacher – Dame Christine Cole Catley. She died in her home country New Zealand last November at the age of 89.

To her too, I owe a debt of gratitude. She was one of my teachers at the Wellington Polytechnic in 1970/71 when I was there on the Colombo Plan Scholarship. I met her again some 20 years later when the class 1970/71 had a gathering in Wellington.

It was she who noticed that Hashim Makaruddin (now Tan Sri and Chairman of the Utusan Melayu Berhad) and I were a bit too advanced for the journalism course she was teaching. Intuitively, she sent us out to “work” with country newspapers and live with Kiwi families.

She sent us out to work with such newspapers in far-flung places in the beautiful country, which in more recent times was made famous worldwide as the Middle Earth in the movie version of Tolkin’s trilogy.

I worked for Levin Chronicle, where worm infestation of the season’s lambs was a big story and the Wanganui Herald, where I was introduced and fell in love with printer’s ink.

At midmorning every day, my news editor, the late George Abbot, made me wait at the printing presses for the first copies of the paper and rushed them to him and other senior staff.

It was while staying with the family of an Anglican priest in Levin that I said my first dinnertime grace. Only years later that “doa makan” became fashionable with Muslims in Malaysia.

It was these old time journalists and editors that gave the newsrooms their life and flavour and, not to mention, colourful expletive-filled language. Sadly, today’s newsrooms are stiff and sterile and lacking the robustness of a creative environment.

Mazlan and Dame Christine were among the people to whom I owe a huge debt of gratitude. I also owe debt of gratitude to journalism luminaries like the late Abdul Samad Ismail (Tan Sri) and Lee Siew Yee (Tan Sri) and fellow journalists like late Mohd Nordin Sopiee, Rejal and Ahmad Sebi. Their guidance and camaraderie made what I am today. Alfatihah and thank you.

Wednesday, March 21, 2012

Menjelang Pilihan Raya Macam-Macam Ada

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

SEMAKIN kuat, hangat dan bersemangat cakap-cakap pilihan raya, semakin panas jugalah persekitaran politik satu Malaysia. Pendek kata, macam kata iklan ikonik Astro tidak lama dulu – “macam-macam ada.” Antaranya:-

1. Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, dilaporkan oleh akhbar The Sun sebagai berkata, tarikh pilihan raya umum adalah “trademark” (tanda niaga) beliau. Maksud beliau, keputusan bila PRU akan diadakan adalah hak mutlak beliau. Beliau yakin orang India kini menyokong Barisan Nasional dan mahu kelebihan suara dua pertiga dikembalikan.

2. Namun begitu, di sebalik kecanggihan kempen blog, Facebook dan Twitter, aspek-aspek tahayul dalam pemikiran sesetengah orang politik terus kukuh. Maka, ramailah tukang tilik dan burung serinditnya, sami pelbagai agama, bomoh Siam dan Kiai Jawa yang dilawati untuk mendapatkan “petunjuk”.

3. Khabarnya, ada tok sami yang meramalkan bulan Jun ini, bulan, bintang dan matahari akan berbaris harmonis di angkasa raya menandakan masa paling sesuai untuk mempertaruhkan nasib. Agaknya itulah sebab mengapa ada ramalan mengatakan PRU akan diadakan Mei atau Jun.

4. Namun begitu, hanya Mohd Najib akan menentukan sama ada segala ramalan mengenai tarikh PRU itu tepat. Itu tanda niaga yang didaftar atas nama beliau.

5. Selepas pergolakan Pas di Kedah, kini giliran DAP pula. Pengerusi Nasionalnya, Karpal Singh terus bertelingkah dengan Timbalan Setiausaha Agung merangkap Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy. Karpal tidak puas hati dengan keputusan Jawatan Kuasa Disiplin mengenai aduan salah laku terhadap Ramasamy lantas menghalakan serangan kepada pengerusi jawatankuasa itu, Tan Kok Wai, pula. Apa yang sedang berlaku dalam DAP sekarang adalah penerusan perebutan kuasa antara golongan lama dan baru dalam parti itu. Pergolakan dalam Pas dan DAP itu sudah tentunya tidak baik bagi Pakatan Rakyat.

6. Selain isu lembu dan kondo NFCorp yang menghambat Ketua Wanita Umno, Shahrizat Abdul Jalil, keluar daripada Kabinet, Umno kehilangan seorang veteran apabila bekas Menteri Penerangan, Abdul Kadir Sheikh Fadzir, mengumumkan keluar parti selepas 56 tahun berkuat kuasa 19 Mac. Beliau berbuat demikian selepas dicabar oleh Setiausaha Agung Umno, Teuku (Tengku) Adnan Mansor agar keluar kalau tidak puas hati dengan parti.

7. Bukan Abdul Kadir saja keluar parti. Ramai lagi yang telah keluar Umno tapi nama mereka ada lagi dalam daftar kerana cawangan tidak mahu atau tidak berani kemukakan kepada ibu pejabat.

8. Ramai yang keluar parti masih komited kepada Umno, tetapi mereka berbuat demikian kerana tidak yakin lagi dengan kepemimpinan parti, khasnya mengenai mempertahankan hak orang Melayu. Pemimpin atasan Umno dilihat lebih mengutamakan Barisan Nasional daripada Umno.

9. Jawatankuasa Akaun Parlimen (PAC) mengesahkan yang National Feedlot Corporation (NFCorp) milik keluarga Shahrizat tidak membayar balik ansuran hutang mudah kepada Kerajaan pada bulan Januari dan Feb lalu berjumlah RM34 juta.

10. Dr Hassan Ali, bekas Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, yang baru dipecat daripada Pas kerana bergaduh dengan rakan kongsi DAP, berkata beliau gembira menghadiri sidang DUN sebagai wakil rakyat bebas. Cabaran terhadap Pas ialah membuktikan kepada orang Melayu/Islam yang ia bukan di bawah telunjuk DAP dan PKR.

11. Sebahagian peneroka Felda dan perwakilan mereka masih menentang IPO Felda Global Ventures. Masih banyak soalan mengenai modus operandi cadangan IPO itu yang belum terjawab. Seorang bekas menteri kanan bertanya mengenai “preference shares” yang akan memberikan keutamaan dividen kepada pihak-pihak tertentu dan membelakangkan peneroka.

12. Tidak kira di negeri perintah BN atau PR, keselesaan dan keselamatan harian rakyat jelata semakin terancam. Bandar raya, bandar dan pekan semakin kotor, jalan raya berlopak dan anjing (bertuan dan liar) berkeliaran menjadi ancaman kepada orang ramai. Di Bukit Mertajam, Seberang Prai baru-baru ini, seorang kanak-kanak tujuh tahun, Dhiya Qairina, diserang anjing jirannya ketika berbasikal.

13. Sekarang dalam satu Malaysia (rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan) anjing, sama ada anjing bertuan atau anjing liar, serta babi hutan menjadi masalah besar. Dulu anjing yang tidak ada lesen tergantung di tengkuk akan ditangkap atau ditembak. Tapi sekarang tidak lagi. Tunggu sajalah sampai manusia dijangkiti penyakit anjing gila (rabies) barulah Kerajaan akan riuh-rendah, hiruk-pikuk buat ikrar dan janji.

14. Tidak cukup dengan anjing, babi hutan dan kera, kita juga kena main oleh pendatang (halal dan haram). Kerana para perunding antarabangsa dan diplomatik kita hambar dan half-past-six, maka negara kita kena buli kiri kanan oleh negara-negara jiran. Negara jiran yang sepatutnya jadi kawan sudah jadi lawan.

Wallahualam. Kalau pembahas ada nak tambah, silalah tambah.

Saturday, March 17, 2012

Anwar-Raja Petra: Daripada Kawan Kepada Lawan

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

SESIAPA saja yang mengenali rapat Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim dan fugitive blogger (blogger lari daripada undang-undang) Raja Petra Raja Kamaruddin, tentu boleh merasakan keunikan pertikaman lidah yang sedang berlaku antara mereka.

Mereka pernah menjadi rakan akrab lama sebelum Anwar melancarkan gerakan reformasi setelah dipecat daripada kerajaan pada tahun 1998. Raja Petra adalah antara penggerak dan penyokong tegar gerakan itu.

Apabila Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, Raja Petra adalah antara pengkritik utama beliau di kalangan pengamal media baru.

Apabila Abdullah ditekan agar bersara awal dan digantikan oleh Mohd Najib Abdul Razak, Raja Petra dari awal lagi kritikal terhadap Mohd Najib. Beliau melemparkan pelbagai tuduhan terhadap Mohd Najib.

Sekarang beliau menghalakan serangan terhadap Anwar pula. Dalam episod terbaru, beliau menggelar Anwar “chicken” atau ayam betina. Dalam ungkapan bahasa Inggeris, ayam betina adalah seorang pengecut.

Raja Petra menuduh Anwar meminta supaya beliau (Raja Petra) dikeluarkan daripada senarai ahli panel forum mengenai isu global di Kent, England hari ini.

Kalau konotasi ayam betina negatif dalam bahasa Inggeris, ia lebih tidak positif dalam bahasa Melayu jalanan. Ayam, dalam lingo jalanan turut dirujukkan kepada pelacur. Justeru itu, ungkapan "a chicken" yang digunakan oleh Raja Petra itu sangatlah tidak elok bagi Anwar.

Soalnya, mengapakah percakaran dua bekas kolaborator itu berlaku?

Adakah Raja Petra tidak lagi komited kepada reformasi Anwar atau beliau cuba mencari dahan baru untuk bergayut?

Dalam berita yang disiarkan oleh akhbar New Straits Times hari ini, Raja Petra dipetik sebagai berkata, kalau Anwar takut berbahas dengan beliau, bagaimanakah beliau hendak berbahas dengan Mohd Najib.

Raja Petra mengajak Anwar berbahas dengan beliau dahulu sebelum berbahas dengan Mohd Najib.

Pada akhir-akhir ini Raja Petra melemparkan pelbagai tuduhan berat terhadap Anwar, termasuk rasuah dan salah guna kuasa ketika beliau dalam kerajaan.

Bagi mereka yang tahu perhubungan akrab di antara Anwar dan Raja Petra serta tindak-tanduk Anwar ketika di dalam kerajaan, tuduhan rasuah dan salah guna kuasa itu berat serta tidak membantu Anwar pada saat beliau sedang cuba mengukuhkan kedudukannya sebagai ketua de facto Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum ini.

Dari sudut pandangan lain pula, perbalahan Anwar-Raja Petra itu tidaklah menghairankan kerana dalam kerjaya politik Anwar, kawan boleh menjadi lawan dan lawan menjadi kawan dalam sekelip mata.

Wallahualam.

Monday, March 12, 2012

Shahrizat Korban Diri Kerana Kabinet dan Umno?

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

MUTAKHIR - Pengarah National Feedlot Corporation (NFCorp), Datuk Salleh Ismail (suami Shahrizat) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan pecah amanah melibatkan RM49.7 juta milik syarikat itu. Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan mengikut Akta Syarikat 2001 kerana melakukan kedua-dua perbuatan itu tanpa kebenaran mesyuarat agung. Salleh mengaku tidak bersalah dan dikenakan ikat jamin RM500,000. Beliau dituduh menyalahgunakan RM9,758,140 untuk membeli dua unit kondominium dan memindahkan RM40 juta ke dalam akaun syarikat milik keluarganya, National Meat Livestock Corporation Sdn. Bhd.



Posting Asal


KALAU kefahaman kita mengenai kenyataan ringkas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, berkaitan “pengunduran” Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Shahrizat Abdul Jalil, tepat, maka antara kesimpulan yang boleh kita buat adalah Perdana Menteri tidak campur tangan.


Ini adalah kerana Media massa, antara lain, memetik Mohd Najib sebagai berkata bahawa Shahrizat “mengorbankan diri demi Kabinet dan Umno.” Untuk itu, Mohd Najib memuji beliau.


Perdana Menteri memberi tahu pemberita di Pekan petang semalam yang tindakan Shahrizat meletakkan jawatan apabila tempoh pelantikan beliau sebagai Senator berakhir 8 April ini adalah tindakan tepat.


Mohd Najib menambah, walaupun tidak ada bukti setakat ini yang Shahrizat melakukan apa-apa kesalahan, tetapi kerana isu NFC telah mencetuskan kontroversi dan pertikaian, beliau bersedia mengundurkan diri daripada kerajaan.


Daripada kenyataan Perdana Menteri yang dilaporkan oleh media massa itu, kita boleh membuat beberapa kesimpulan dan mengemukakan beberapa persoalan. Antaranya:


1. Perdana Menteri tidak campur tangan sama ada Shahrizat kekal dalam Kabinet atau meletakkan jawatan;


2. Shahrizat mengambil pilihan “mengorbankan diri” demi Kabinet dan Umno” bukan kerana didesak oleh sesiapa;


3. Kita tidak akan tahu sama ada Perdana Menteri telah mengambil keputusan sama ada menyambung atau tidak tempoh pelantikan Shahrizat sebagai Senator selepas 8 April ini; .


4. Adakah peletakan jawatan Kabinet akan mengurangkan pengaruh Shahrizat sebagai Ketua Wanita Umno atau mengurangkan tekanan ke atas pergerakan itu bagi mempertahankan kewibawaan ketuanya?;


5. Adakah anggota Kabinet lain yang ada masalah kewibawaan kerana mereka sendiri atau kakitangan mereka dibabitkan dengan kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan mengikut jejak Shahrizat; dan


6. Adakah Perdana Menteri akan menggugurkan watak-watak bermasalah seperti itu daripada senarai calon “winnable” (calon boleh menang) beliau dalam pilihan raya umum yang menjelang?


Wallahualam. Hanya Allah yang tahu, tetapi menjelang PRU tentu ada manusia yang mendongak ke langit melihat sama ada bulan, bintang dan matahari berbaris di angkasa atau menemui kiai Indonesia, sami daripada pelbagai agama dan burung serindit yang pandai menilik.


Tuesday, March 06, 2012

Apa Jadi Kalau Kromosom Y Makin Pupus?

A Kadir Jasin

[Kalau guna “anonymous” tolong beri nama sebenar atau nama samaran di awal dan akhir ulasan. Komen “anonymous” tidak akan disiarkan.]

MEMANDANGKAN ada pembahas kurang senang dengan tampalan lepas mengenai dakwaan khalwat ke atas Ahli Majlis pusat PKR, Dr Badrul Amin Baharom, jadi saya tidak akan menulis apa-apa mengenai politik kali ini.

Kita "cool down sikit" walaupun ada banyak isu politik yang boleh saya tulis sebab beberapa hari lalu (1 Mac), saya dijemput hadir taklimat pilihan raya Barisan Nasional Selangor di Shah Alam yang dihadiri Perdana Menteri Mohd Najib Abdul Razak. Banyak strategi “Selangor Takeover Plan (STOP)” dibagi tahu kepada warga korporat dan Industri pelbagai kaum. Tak tahulah saya sama ada semua yang dijemput dan hadir itu sokong atau simpati dengan BN. Lepas itu, Menteri Besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim pula berkata Pakatan Rakyat yakin menang dua pertiga di negeri itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Untuk tampalan kali ini saya akan menulis mengenai sesuatu yang mungkin tidak menyakitkan hati atau menimbulkan kemarahan sesiapa. Itu pun belum tentu. Saya akan bercerita sikit mengenai kromosom Y. Tapi sebelum itu, saya ingin beri amaran. Oleh kerana tajuk ini saintifik, maka istilah-istilah yang akan saya gunakan adalah dalam konteks sains, jadi tidak harus dianggap lucah atau kesat.

Misalnya, saya akan terjemahkan “testes” menjadi testis atau buah pelir seperti yang diguna pakai oleh Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pustaka. Di mana saya silap atau penerangan lebih saintifik diperlukan, saya jemput para doktor dan saintis menokok-tambah.

Berbalik kepada kromosom Y, ia adalah satu daripada dua kromosom yang menentukan jantina dalam kebanyakan mamalia, termasuk manusia. Satu lagi adalah kromosom X. Kromosom Y mengandungi gen SRY dan gen inilah yang mencetuskan pertumbuhan testis atau buah pelir. DNA (deoxyribonucleic acid) dalam kromosom Y diturunkan daripada bapa kepada anak lelaki.

Saya tergerak menulis hal ini sebagai sambungan kepada tampalan mengenai penyakit koro yang saya lakukan setahun dua dulu. Sindrom koro menjangkiti orang lelaki menyebabkan kemaluan mereka sorot. Bila hal ini terjadi, pesakit hilang sebahagian besar fungsi seksual dan, ikut cerita, hendak buang air kecil pun seksa.

Gen SRY dalam kromosom Y mencetuskan pertumbuhan embrio dalam rahim sebagai lelaki. Kromosom X dimiliki oleh perempuan dan lelaki. Orang perempuan mempunyai dua kromosom X manakala lelaki satu kromosom X dan satu Y.

Bayi lelaki dan perempuan masing-masing mengekalkan satu kromosom X ibu mereka. Tetapi bayi perempuan mempunyai kelebihan kerana mereka mengekalkan Kromosom X yang kedua daripada bapa mereka.

Tetapi yang menggerakkan saya menulis hal ini adalah perbahasan di kalangan penyelidik antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ada antara mereka mendakwa kromosom Y semakin hari semakin kehilangan gennya dan mungkin putus. Wallahualam. Kalau ini benar, maka semakin hari semakin kurang bayi lelaki dilahirkan, Tetapi, kata para penyelidik itu, ia tidaklah berlaku dalam masa yang singkat. Ia mungkin mengambil masa berjuta-juta tahun.

Di Malaysia sekarang, nisbah jantina adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan. Ini mungkin disebabkan, antara lain, oleh ramainya pekerja asing lelaki di negara kita.

Perangkaan lain pula mengatakan nisbah lelaki-perempuan di dunia agak sama. Margin antara 5% hingga 10% adalah biasa, walaupu ada negara dan wilayah, misalnya Dunia Arab, di mana lelaki melebihi wanita hingga 15% atau 20%. Wallahualam, tak tahulah saya sama ada ubat kuat dan Tongkat Ali boleh mempengaruhi penghasilan kromosom Y dan gen lelaki.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).