Wednesday, July 26, 2006

Bergunakah Orang Tengah Khalil?

A Kadir Jasin

[Komen menggunakan pengenalan “anonymous” tidak akan dilayan. Sila guna nama sebenar atau nama samaran yang sesuai.)

[Update 28 Julai: Sama ada diserang gas pemedih mata atau tidak sengaja terkena gas pemedih mata, Tun Dr Mahathir Mohamad selamat dan tidak berganjak daripada misinya.

Beliau meneruskan temu janji dengan rakyat Kelantan yang ingin mendengar penjelasannya walaupun dinasihatkan agar membatalkan programnya.

Ingatan saya kembali kepada pilihan raya umum tahun 1969 di Kota Star Selatan (kini Pendang) apabila beliau dicaci cela dan dibaling telur busuk. Dia tidak berganjak. Dr Mahathir dulu dan sekarang tidak berubah. Yang berubah hanya usia.]

[Posting Asal] --- TUN Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa Yang Dipertua Nedanggeri Melaka, Tun Mohamad Khalil Yaakob adalah “orang tengah” yang cuba menyelesaikan “masalah” antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita di Kuala Lumpur semalam. Khalil menemui Dr Mahathir di rumahnya di Sungai Besi pada 1 Julai lalu (lihat blog 2 Julai).

Masalahnya ialah sama ada usaha baik Khalil itu ada gunanya atau tidak kerana Abdullah berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Dr Mahathir.

Dr Mahathir pula berkata beliau akan meneruskan kegiatannya memberi penerangan mengenai isu-isu yang dibangkitkannya dengan menggunakan pelantar Umno.

Itu sebelum Majlis Tertinggi Umno yang bermesyuarat malam tadi membuat keputusan meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada Umno bahagian jika program yang membabitkan Dr Mahathir “menjejas kepentingan parti”.

Demikian menurut laporan akhbar yang memetik Presiden Umno itu. Dalam bahasa yang mudah, Abdullah berkata Umno bahagian bebas membuat keputusan sama ada mahu mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir atau sebaliknya, tetapi kalau apa-apa berlaku, merekalah yang bertanggungjawab.

Utusan Malaysia (26 Julai) melaporkan Perdana Menteri sebagai berkata: “Umno bahagian bebas membuat sebarang keputusan sekiranya ia bertujuan menjaga kepentingan bahagian itu serta perhubungan antara ahlinya.”

Peringatan Presiden parti itu ada logiknya. Bukan semua ahli Umno berpuas hati mendengar penjelasan Kerajaan dan pemimpin parti sahaja. Banyak juga yang mahu mendengar versi Dr Mahathir.

Sebaliknya ada juga ahli yang berpuas hati hanya mendengar penjelasan Kerajaan dan pemimpin parti. Dan terdapat juga kumpulan ketiga yang hanya mahu mendengar cerita Dr Mahathir.

Namun pada pandangan saya, pendirian “berkecuali” MT mengenai kebebasan Umno bahagian menjemput atau tidak menjemput Dr Mahathir, meneruskan atau tidak meneruskan pertemuan dengan beliau, tidak menghalang individu dan kelompok tertentu dalam parti itu daripada menganjurkan program serupa itu.

Misalnya di Kelantan, sebuah kokus yang menggabungkan bekas-bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bekas-bekas ketua bahagian Umno telah ditubuhkan untuk mengambil alih penganjuran majlis penerangan Dr Mahathir esok (Jumaat, 28 Julai).

Kokus ini ditubuhkan setelah penganjur asal majlis itu, sebuah pertubuhan sampingan Umno yang menggabungkan bekas-bekas Ahli Parlimen Umno dari negeri Kelantan menarik diri.

Banyak pihak bimbang perkembangan sekarang akan memecahbelahkan Umno seperti yang berlaku ketika krisis kepemimpinan 1987/88 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Saya berasa peristiwa itu tidak akan berulang. Sebaliknya, perkembangan sekarang menguji kesungguhan dan keikhlasan kepemimpinan Abdullah mengotakan kata-kata mereka mengenai ketelusan, kebertanggungjawaban dan keterbukaan.

Ini terbukti dengan adanya elemen-elemen bebas dalam Umno seperti yang dimanifestasikan oleh Ketua Bahagian Padang Besar (Perlis), Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang berani mewujudkan platform bagi membolehkan Dr Mahathir membentangkan “his side of the story”.

Zahidi, dilaporkan oleh The Star (26 Julai) sebagai berkata bahawa adalah lebih baik bagi Umno menyediakan pelantar bagi Dr Mahathir mengemukakan hujahnya daripada membenarkan parti-parti pembangkang mengambil kesempatan.

Kembali kepada Khalil, khabar terakhir mengenai usaha damai beliau ialah beliau telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri. [Terbaru. Surat berkenaan dihantarkan melalui Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.]

Antara perkembangan lain yang perlu diperhatikan:

1. Perdana Menteri memberi pengiktirafan secara tidak langsung kepada “bloggers” dengan menasihatkan media massa arus perdana agar tidak bersaing dengan laman berita Internet dan blogger (seperti laman kita ini) untuk terus menjadi saluran maklumat yang popular;

2. Kontrak jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP/EPF) Datuk Azlan Zainol mungkin tidak dilanjutkan. Kalau ini terjadi, perhatikan siapa pengganti beliau. KWSP, dengan aset sebanyak RM240.3 bilion (tahun 2004), adalah “lombong permata” bagi pengantara kewangan (financial intermediaries); dan

3. Kontrak atau surat persetujuan mungkin telah diberikan kepada pihak tertentu untuk membina kompleks kecemerlangan sukan yang bernilai RM490 juta di UK. Kalau tidak, mengapakah ada Menteri yang beria-ia mempertahankan projek itu dan begitu pasti dengan kosnya? Siapa kontraktor itu?

Thursday, July 20, 2006

Masalah "Abdullah Tiada Masalah Dengan Mahathir"

A Kadir Jasin

[Nota: komen yang menggunakan "anonymous" tidak akan dilayan]

BAGI sesiapa juga yang percaya bahawa tiada apa yang mustahil dalam politik, maka kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahawa beliau tiada sebarang masalah dengan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, tentulah melegakan.

Tetapi kepada yang syak wasangka, skeptis dan sinis, maka mereka tentulah akan membaca antara barisan dan memisahkan antara yang tersurat dengan yang tersirat.

Secara peribadi saya berdoa dan berharap bahawa maksud kenyataan Perdana Menteri itu adalah seperti yang tersurat – “Saya tiada masalah dengan Dr Mahathir” (Utusan Malaysia, 20 Julai).

Kenyataan beliau yang memecah kesunyian – elegent silence, kata mantan Timbalan Perdana Menteri Tun Musa bin Hitam – itu memberikan harapan bahawa sedikit sebanyak kekeruhan yang berlaku mungkin dapat dijernihkan.

Malangnya, dalam politik apa yang tersurat tidak semestinya yang tersurat. Apatah lagi apabila kenyataan Perdana Menteri itu akan interpretasikan dan dihebahkan oleh pelbagai pihak mengikut selera dan kecenderungan masing-masing.

Bagi saya, isunya bukan isu Abdullah dengan Mahathir atau Mahathir dengan Abdullah lagi. Isunya adalah hal-hal pokok yang memisahkan kepemimpinan Mahathir yang sudah berlalu dengan kepemimpinan Abdullah yang sedang berkuat kuasa.

Pokok pangkalnya bermula dengan pembatalan beberapa buah projek besar seperti elektrik hidro Bakun, landasan kereta api berkembar, penjualan aset Proton dan, yang menyebabkan retak menjadi belah, pembatalan projek jambatan bengkok di Selat Teberau di sebelah wilayah Malaysia.

Manakala sesetengah hujah Kerajaan mengenai pembatalan projek-projek ini boleh diterima yang menyebabkan keadaan menjadi keruh adalah kegiatan pemutar-pemutar (spin doctors) di sesetengah pertubuhan media massa arus perdana milik Kerajaan dan Umno.

Mereka inilah yang memutar-belitkan projek besar yang bertujuan mempertingkatkan kapasiti dan kadar pertumbuhan ekonomi negara menjadi projek mega yang kononnya membebankan negara.

Yang menyedihkan dan memalukan adalah sifat talam dua muka pihak-pihak yang turut terbabit menyokong projek-projek ini, khasnya Kabinet, ketika di bawah kepemimpinan Dr Mahathir.

Dalam sekelip mata mereka menyokong pembatalannya dengan mengemukakan pelbagai alasan. Mereka bukan sekadar bersetuju dengan pembatalan projek-projek ini malah turut menyanyi dan menari mengikut rentak dan irama yang digubah oleh pemutar-pemutar media yang disebutkan itu.

Di masa yang sama, umum terus mendengar desas desus projek-projek yang seakan-akan serupa telah atau sedang dicadangkan oleh pihak-pihak yang dianggap akrab dengan pentadbiran sekarang.

Misalnya, manakala projek landasan kereta api kembar yang diberikan kepada Malaysia Mining Corporation (MMC) dibatalkan pada awal pentadbiran Abdullah kini timbul cadangan daripada YTL Corporation untuk melancarkan khidmat kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura.

Antara objektif utama projek landasan kembar MMC ialah bagi membolehkan operasi kereta api laju dilancarkan. Tanpa landasan kembar dan sistem semboyan moden, operasi kereta api laju tidak dapat dilaksanakan.

Jadi siapa yang akan menaikkan taraf landasan antara Kuala Lumpur dan Singapura bagi membolehkan YTL melancarkan khidmat kereta api laju itu?

Umum mungkin sudah tahu bahawa MMC adalah syarikat yang dikawal oleh Bumiputera di mana Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah pemegang saham strategik. YTL adalah konglomerat Cina Malaysia yang dikawal oleh keluarga Yeoh Teong Lay.

Apabila projek jambatan bengkok dan kompleks sokongannya, yang sudah lebih 50 peratus siap, dibatalkan pada 12 April atas alasan “menghormati sentimen rakyat” Dr Mahathir mula bersuara.

Dengan sekelip mata usaha dibuat untuk melenyapkan suara beliau daripada media massa arus perdana. Setelah usaha ini gagal kerana Dr Mahathir mula didampingi oleh media Internet dan badan-badan bukan kerajaan (NGO), kempen dilancarkan untuk menggambarkan beliau sebagai pengacau, nyanyuk dan gila talak selepas bersara.

“Post Prime Ministerial Syndrome” (sindrom pasca Perdana Menteri), kata “pakar rujuk” pentadbiran sekarang dan “the darling of the mainstream media” (kekasih pujaan media massa arus perdana), Musa Hitam.

Dan di sini jugalah keadaan menjadi lebih keruh dan banyaklah pihak yang memasang tangguk. Sama ada Abdullah sedar atau tidak dan sama ada disengajakan atau sekadar kebetulan, perbuatan media massa arus perdana menyeret Musa, Anwar Ibrahim dan beberapa orang lagi yang berupa nemesis kepada Dr Mahathir ke dalam gelanggang menyebabkan isu ini menjadi isu politik peribadi.

Siapa tidak tahu kebencian Musa dan Anwar terhadap Dr Mahathir. Bagi mereka, peluang membelasah Dr Mahathir ibarat pucuk dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal.

Mungkin ada kebenaran bahawa Abdullah tiada masalah dengan Dr Mahathir, setidak-tidaknya di sudut peribadi. Kalau Dr Mahathir mengatakan dia ada masalah dengan Abdullah, maka dia secara tidak langsung mengatakan yang dia telah tersalah pilih dengan melantik Abdullah penggantinya.

Tetapi daripada reaksi umum, termasuk ejekan ahli-ahli Umno sendiri terhadap Menteri dan ahli Majlis Tertinggi Umno yang cuba memberi penerangan mengenai isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir, jelas menunjukkan yang Umno dan Kerajaan mempunyai masalah.

Ada orang, di dalam dan luar Umno, Melayu dan bukan Melayu, yang berpendapat atau berasa ada kebenaran pada hujah-hujah Dr Mahathir dan wujud jurang kewibawaan (credibility gap) di dalam cara Kerajaan menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh mantan Perdana Menteri itu.

Kesimpulannya, Abdullah mungkin tiada masalah dengan Dr Mahathir dan Dr Mahathir mungkin (saya tekan istilah mungkin) tiada masalah dengan Abdullah, tetapi petunjuk semasa membuktikan tanpa sebarang keraguan bahawa Kerajaan dan Umno mempunyai masalah dengan sekelompok rakyat jelata.

Kelompok ini menyokong Dr Mahathir bukan kerana mereka mahu beliau kembali memimpin, tetapi memihak kepada beliau kerana berpendapat apa yang beliau bangkitkan itu berasas dan cara Kerajaan dan Umno menjawab soalan-soalan beliau tidak meyakinkan.

Dan oleh sebab Abdullah sendiri telah mengerahkan anak buahnya, daripada anggota Kabinet kepada ahli MT Umno dan pemutar media massa arus perdana, untuk menjawab Dr Mahathir, maka isu ini, jika ia berupa masalah, sudah menjadi masalah Kerajaan dan Umno.

Dek kerana Abdullah adalah “ketua kepada segala ketua”, maka jika Kerajaan dan Umno ada masalah dengan Dr Mahathir dan dengan rakyat jelata yang sependapat dengan beliau, masalah itu, pada peringkat mutakhirnya, adalah masalah Abdullah.

Friday, July 14, 2006

Exorcising the Abdullah-Mahathir Demon

[Just a reminder. No anonymous comment will be entertained. Please use real identity or suitable pseudonym. Thank you.]

A Kadir Jasin

I think we can all agree unreservedly with Foreign Minister Datuk Seri Syed Hamid Albar that the booklet to explain issues raised by the former Prime Minister Tun Dr Mahathir Mohamad must be released as soon as possible to prevent further confusion.

But I disagree with him that the debate on issues raised by Dr Mahathir should be cut short. In line with the current administration’s commitment to transparency, accountability and openness, the people must be allowed to debate these and other issues for as long as they want.

It may even be good as it reminds us of things and broaden our knowledge of issues. In this way we may be able to avert the “mudah lupa” syndrome.

Syed Hamid, was quoted by the New Straits Times as saying that the Cabinet had also agreed that the booklet would contain a list of documents that had been de-classified.

He added that the Cabinet had discussed at great length the issues raised by Dr Mahathir and the important facts that must be presented in the booklet.

"The Government will explain everything that has been debated or argued so far. The facts that will be presented must prevent confusion, misunderstanding and prolonged debate. That is what the Cabinet and the rakyat want," he said.

He said it was important that answers to Dr Mahathir’s questions were clear and accurate so as not to jeopardise bilateral ties between Malaysia and Singapore. "Whatever Tun has touched upon will be explained ... Our focus is on the answers and facts."

I won’t say anything about our ties with Singapore. But I take note that Syed Hamid “does not want to jeopardise bilateral ties between Malaysia and Singapore.” We leave this issue for another occasion.

For now, let us say that too much time has already been wasted. Some of the issues raised by Dr Mahathir are months old. Take the AP (approved permits for the importation of motorcars) for instance.

It has been more than a year. International Trade and Industry Minster, Datuk Seri Rafidah Aziz, had “answered” it and the Parliament had “debated” it. But it was revealed just a few weeks ago that the same AP Kings continued to be issued the permits and the number had not changed much.

MV Agusta by Proton and the termination of Tengku Mahaleel’s contract as Proton’s CEO had been repeatedly “explained” by the new Proton’s management. That sale had reportedly caused Proton an RM500-million in book loss had also been explained.

Even the cancellation of the crooked, scenic bridge project had been “explained” by ministers, including Syed Hamid, and senior officials. I had also been thoroughly spun for public consumption by the mainstream media, but to no avail.

There are still enough people who believe that Dr Mahathir has a valid point in not wanting to end his quest for “real” explanation from the “real” power.

Maybe it’s not just the explanation, rather the way that it has so far been made and the people making it. That’s has to be the reason why Dr Mahathir finally demanded that the Prime Minister, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, himself should answer his queries and charges.

So, if we consider that as important or as fundamental to the standoff, the issuance of the booklet may help to resolve the technical aspect of the problem but will not extricate us from the political quagmire because the Prime Minister is not likely to end his “elegant silence ” – to quote the term created by Tun Musa Hitam.

The most that we can expect the Prime Minister to say is, I stand by the explanations set out in the booklet. Here, maybe the Prime Minister’s capable political, media and administrative aides may have to revisit their strategy of forbidding him from confronting Dr Mahathir personally.

Who knows that if Abdullah is left to his own devices (and choices) we would have a better chance of seeing the tiff between him and Dr Mahathir amicably ended!

After all, Abdullah-Mahathir (or Mahathir-Abdullah) political partnership – if such a term can be used -- predated all the “Khairies”, the spin-doctors and the Oxbridge cabal who are said to have a stranglehold on the Prime Minister.

And, can’t Umno leaders rise above their narrow personal interest and fears to act as men and women of courage and wisdom to get these two persons together? Or are we expecting too much?

On a different note but still involving Singapore, I am bothered by persistent rumours that a member of the Cabinet had gone to the republic to hold a “happening” 52nd birthday party.

I hope this is a fitnah because if it’s true, it’s not good – to put it very, very mildly -- for the country, especially now when relations with Singapore is in a volatile state. We could be compromising our national security.

Thursday, July 06, 2006

Melayu Bersengketa Siapa Untung?


A Kadir Jasin


MENYAMBUNG
perbahasan mengenai buruk dan baik perselisihan pendapat antara pentadbiran sekarang dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, elok sekiranya kita mendalami kesannya kepada rakyat jelata.

Dan apabila kita menyebut rakyat jelata, kita tidak dapat lari daripada realiti bahawa majoriti rakyat Malaysia adalah orang Melayu dan Bumiputera.

Walaupun perselisihan pendapat ini sudah menjadi isu nasional, namun dari aspek politik ia nampaknya terhad kepada politik Melayu. Ini ada baik dan buruknya.

Sehingga kini, pembabitan kaum-kaum lain agak terhad. Kecuali seorang dua pemimpin politik bukan Melayu yang bersuara dengan agak lantang, yang lain nampaknya teragak-agak untuk bersuara secara terbuka.

Selain kebimbangan bahawa penyertaan mereka yang aktif dan terbuka mungkin mengeruhkan lagi suasana, orang bukan Melayu mungkin berasa bahawa lebih baik jika isu ini diselesaikan oleh orang Melayu sebagai kelompok dominan politik negara.

Lagipun, kebanyakan punca kritikan Dr Mahathir terhadap kerajaan lebih mirip kepada orang Melayu. Misalnya, raja-raja AP yang mendapat permit mengimport kereta adalah Melayu, kontraktor jambatan bengkok dan landasan kereta api kembar yang dibatalkan adalah Melayu dan majoriti pekerja Proton adalah Melayu.

Ini tidak bermakna bahawa orang bukan Bumiputera tidak mendapat faedah daripada projek-projek yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir itu. Raja-raja AP mungkin Melayu, tetapi banyak daripada pengimport dan pengedar kenderaan yang menggunakan permit itu adalah bukan Melayu.

Begitu juga dengan jambatan bengkok dan landasan kembar. Walaupun kontraktor yang terjejas adalah Bumiputera, namun jika projek-projek ini dilaksanakan, pembekal utamanya adalah bukan Bumiputera iaitu mereka yang mengeluarkan simen, besi waja dan bahan-bahan binaan lain.

Seperkara yang jarang diperkatakan ialah hakikat bahawa orang bukan Melayu, khasnya kaum Cina, telah berjaya mewujudkan struktur ekonomi mereka sendiri. Disebabkan itu, mereka tidak terlalu bergantung kepada sektor ekonomi awam untuk terus maju.

Di pihak lain pula, orang Melayu dan kaum-kaum Bumiputera lain yang banyak bergantung pada sektor ekonomi awam untuk mendapatkan pekerjaan dan peluang perniagaan kurang rasional di dalam penghujahan mereka.

Mereka mungkin lantang bersuara tetapi hujah-hujah mereka kurang berisi kerana mereka tidak faham implikasi isu-isu yang Dr Mahathir dibangkitkan terhadap kebajikan mereka dan negara.

Dari awal lagi -- bermula dengan media massa arus perdana milik kerajaan dan parti (Umno) -- isu-isu ini dipolitikkan bagi menggambarkan Dr Mahathir sebagai mantan Perdana Menteri yang mungkir janji dan suka campur tangan dalam urusan kerajaan.

Maka mereka pun ke hulu dan ke hilir mencari sesiapa sahaja yang sanggup membelasah Dr Mahathir, termasuk orang yang antikerajaan dan anti-Umno, dalam percubaan mereka melenyapkan suara beliau.

Soal fakta, maruah dan kewajaran tidak penting kerana mereka tahu majoriti pembaca dan penonton tidak faham atau kurang arif mengenai isu-isu yang Dr Mahathir dipertikaikan. Malah mereka sendiri pun kurang memahaminya.

Suasana ini, kalau gagal ditangani, akan memburukkan lagi kedudukan ekonomi orang Melayu dan tidak mustahil menyebabkan aset-aset negara terjatuh ke tangan orang lain, termasuk orang asing.

Ambil Proton sebagai contoh. Daripada laporan media massa arus perdana yang memetik kenyataan-kenyataan rasmi, projek kereta nasional itu seolah-olah sangat tenat sehingga terpaksa menjual pelaburan walaupun rugi besar.

Tetapi di masa yang sama dan secara diam-diam, syarikat pelaburan induk milik kerajaan Singapura, Temasik, telah membeli saham-sahamnya. Kalau Proton tidak berdaya maju, mengapakah Temasik melabur di dalamnya.

Hakikatnya, pembabitan Temasik dan syarikat-syarikat awam dan swasta Singapura di Malaysia tidak terhad kepada Proton sahaja.

Banyak aset Malaysia sejak akhir-akhir ini telah dibeli oleh pelabur-pelabur Singapura. Malah ada yang sudah menjadi pemilik majoriti seperti ke atas Pantai Holdings Berhad.

Sebabnya, inilah waktu terbaik bagi pelabur-pelabur asing membeli aset-aset korporat dan nasional Malaysia kerana nilai saham syarikat-syarikat Malaysia yang disenaraikan di Bursa Malaysia berada di paras yang rendah berbanding Singapura, China, India, Singapura dan banyak lagi negara.

Jadi dalam kita membahaskan buruk dan baik kritikan Dr Mahathir terhadap beberapa tindakan kerajaan yang ada sekarang, eloklah kita mengkaji dan memahami di manakah negara kita sebenarnya berada dan ke manakah arah yang akan kita tuju.

Kita perlu faham mengapakah media massa Singapura yang seratus peratus dimiliki kerajaan tiba-tiba begitu hebat menyiarkan kritikan-kritikan terhadap Dr Mahathir yang disiarkan oleh akhbar-akhbar Malaysia.

Jawapannya mudah sahaja – Singapura mengiktiraf Dr Mahathir sebagai nasionalis ekonomi (economic nationalist) Asia yang terulung. Dr Mahathir mungkin satu-satunya pemikir ekonomi berbangsa Melayu yang setanding dengan pemikir-pemikir ekonomi Asia yang lain, termasuk Lee Kuan Yew.

Di bawah kepemimpinan beliau selama 22 tahun, Malaysia mara daripada negara pertanian kepada negara yang cukup luas dan pelbagai asas ekonominya.

Negara kita kini mempunyai aset-aset nasional dan korporat yang sangat menarik yang menjadi idaman pelabur asing, khasnya Singapura. Republik pulau itu sentiasa menganggap Malaysia sebagai pedalaman ekonominya (economic hinterland).

Hakikat ini mungkin tidak disedari atau diakui oleh majoriti orang Melayu kerana mereka kurang arif dalam hal ekonomi dan perniagaan.

Tetapi kepada pelabur Singapura dan pelabur asing yang lain, aset-aset Malaysia adalah ibarat perawan cantik yang menunggu dilamar.

About Me

My photo
I was born in 1947 in Kedah. I came from a rice farming family. I have been a journalist since 1969. I am the Editor-in-Chief of magazine publishing company, Berita Publishing Sdn Bhd. I was Group Editor NST Sdn Bhd and Group Editor-in-Chief of NSTP Bhd between 1988 and 2000. I write fortnightly column “Other Thots” in the Malaysian Business magazine, Kunta Kinte Original in Berita Harian and A Kadir Jasin Bercerita in Dewan Masyarakat. Books: Biar Putih Tulang (1998), Other Thots – Opinions & Observations 1992-2001 (2001), The Wings of an Eagle (2003), Mencari Dugalia Huso (2006), Damned That Thots (2006), Blogger (2006), PRU 2008-Rakyat Sahut Cabaran (2008), Komedi & Tragedi-Latest in Contemporary Malaysian Politics (2009) and Membangun Bangsa dengan Pena (2009).